Selasa, 2 Ogos 2011

Belia Kapar pelbagaikan aktiviti

KAPAR - Kewujudan Persatuan Belia Wawasan menjadi tunjang dalam penganjuran pelbagai aktiviti dan program khususnya untuk golongan remaja dan belia dalam usaha melahirkan golongan muda yang berwawasan di sekitar Kampung Kapar. 

Pengerusi Persatuan Belia Wawasan Kampung Kapar, Hamdan Bakri berkata, matlamat Persatuan ini adalah ingin menarik golongan muda dengan melibatkan diri dalam aktiviti sihat serta mencergaskan pemikiran dan fizikal. 

“Persatuan ini diakui masih baru dan ia memerlukan sokongan mereka yang berpengalaman dan kita bersyukur kerana mendapat sokongan ketua kampung bagi merancang pelbagai aktiviti untuk tahun ini.

“Antara yang dirancang ialah Kem Jati Diri bersama SPIES (Program Pembangunan Modal insan) anjuran Kerajaan Selangor, penubuhan pasukan kompang, program motivasi pelajar sekolah menengah dan rendah serta gotong-royong perdana untuk mengindahkan kawasan kampung,” katanya ketika mesyuarat agong tahunan kali kedua persatuan berkenaan di Balai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kapar, di Jalan Kenangan. 

Menurutnya, tahun lepas persatuan ini telah berjaya menganjurkan sembilan aktiviti antaranya menghantar perwakilan ke perhimpunan Belia Negara 2010 di Putrajaya, pertandingan futsal dan bengkel pembangunan belia. 

“Dalam mesyuarat ini juga kita semua sepakat melantik Ketua Kampung, Bahron Zaman Majid sebagai Penasihat kepada Persatuan ini untuk tempoh dua tahun,” katanya. 

Dalam pada itu, Ketua Kampung Kapar merangkap Pengerusi JKKK Kampung Kapar, Bahron Zaman Majid yang hadir merasmikan mesyuarat berkata, dengan kewujudan persatuan ini ia dapat membantu JKKK dalam merancang pelbagai program khusus untuk golongan muda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan